myMetro: "Pelajar cerca negara, polis - Oleh Ahmad Fitri Che Musa
KUALA LUMPUR: Biadab! Itulah perkataan tepat untuk menggambarkan tindakan tidak bertanggungjawab seorang pelajar dari Muar, Johor, yang dikenali sebagai ‘Namewee’ kerana menghina lagu Negaraku, tidak menghormati kerajaan dan menyentuh sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.
‘Namewee’ yang berusia 24 tahun, dipercayai masih mengikuti pengajian dalam jurusan Komunikasi Massa di Universiti Ming Chuan, Taiwan.
Gaya dia menyanyikan lagu kebangsaan dan diberi nama ‘Negarakuku’ itu dapat dilihat dalam klip video selama lima minit 32 saat di laman web, YouTube dan sudah dilayari lebih 400,000 pengunjung sejak disiarkan pertengahan bulan lalu.
Dengan menyelit nyanyian rap dalam bahasa Mandarin, dia menyindir kerajaan dengan beberapa perkataan yang digunakan agak kasar dan lucah."
Perbuatan pelajar itu memberi gambaran negatif mengenai Malaysia kepada masyarakat dunia dan boleh menggugat keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.
Dalam lagu itu, pelajar berkenaan juga menyentuh sensitiviti masyarakat Islam dengan memperlekeh ibadat umat Islam dan sikap orang Melayu.
Dia turut menyindir anggota polis dengan gambaran anggota pasukan itu dalam rasuah serta memperlekeh kakitangan kerajaan kerana didakwa lembap menangani urusan pelanggan.
Klip video itu memaparkan ‘Namewee’ menyanyikan lagu berkenaan di sebuah bilik yang berlatarbelakangkan bendera Malaysia dengan diselang seli imej masjid dan dan umat Islam beribadat, Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur.
Beberapa imej yang dipercayai dicedok daripada iklan Tourism Malaysia sempena promosi Tahun Melawat Malaysia 2007 turut dipaparkan.
Pada akhir klip video berkenaan pula dipaparkan ayat yang berbunyi ‘Jangan sue saye, saye takde duit’ (Jangan saman saya, saya tak ada wang).
Sebelum ini, ‘Namewee’ juga pernah menghasilkan klip video yang memuatkan lagu rap berjudul ‘Muar Chinese’ yang menceritakan kisah daerah kelahirannya, Muar, Johor, yang mengandungi beberapa lirik lucah.
Pemerhatian Harian Metro mendapati terdapat juga beberapa klip video lain di laman web YouTube oleh beberapa individu yang menyentuh sensitiviti kaum tertentu dan berbaur hasutan.
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, ketika ditanya mengenai penghasilan klip video oleh Namewee itu, mengakui ada menerima laporan mengenainya.
Beliau menyifatkan kandungan lagu yang dibuat secara nyanyian rap itu bukan saja sensitif, malah turut memperkecil dan memburukkan semangat nasionalisme dan perjuangan pemimpin negara ini.
“Ini sesuatu yang mengaibkan dan kita sedang menyusul perkara itu menerusi Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Menurutnya, pelajar itu sudah dikira melanggar Akta Lagu Kebangsaan dan boleh diambil tindakan jika berada di negara ini.
“Ketika ini proses mengenakan tindakan undang-undang terhadapnya agak rumit kerana dia masih berada di Taiwan.
“Tetapi jika dia balik, kita boleh ambil tindakan,” katanya.
Bagaimanapun, Rais berkata, kementeriannya sedang mengumpul cadangan untuk dikemukakan kepada Peguam Negara dalam usaha menyekat perbuatan mencerca, memperkecilkan dan memberi gambaran buruk terhadap Lagu Kebangsaan.
“Kalau ikut interpretasi Akta Hasutan, dia boleh dikenakan tindakan undang-undang, tetapi mungkin sukar kerana dia sekarang berada di seberang laut. Cuma kita menunggu tindakan lain yang boleh dikenakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment